Kembara Tarawih: Masjid Al-Imam Al-Ghazali
Baca Kembara Tarawih sebelum ini: Masjid Negara
Salam. Kembara Tarawih untuk trimester ke-2 Ramadan ini teruskan lagi. Kali ini aku ke Masjid Al-Imam Al-Ghazali. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Jamek Bandar Manjalara. Seperti namanya, masjid ini terletak di Bandar Manjalara, Kepong. Senibina yang ringkas, tetapi praktikal.
Pra Buka Puasa. Seperti masjid-masjid di kawasan bandar / perumahan, tiada sebarang aktiviti dijalankan sebelum masuk waktu berbuka. Jemaah yang hadir untuk buka puasa pun tidak ramai, kebanyakannya adalah pekerja asing yang kerja di kawasan berdekatan (Bangla).
Buka Puasa & Maghrib. Buka puasa seperti kebanyakan masjid, kurma + kuih dan air. Kemudian solat Maghrib berjemaah, seterusnya makan berat. Ada sesuatu yang menarik ketika hendak solat Maghrib ini. Nanti aku cerita.
Solat Isyak & Tarawih. Sementara menunggu waktu Isyak, kaunter zakat fitrah dibuka dan 2 orang Amil ditugaskan di kaunter tersebut. Kesempatan ini aku gunakan untuk bayar fitrah untuk diri sendiri. Kadar di WP Kuala Lumpur adalah RM7. Solat isyak seperti biasa. Solat Tarawih di sini dilakukan sebanyak 20 rakaat. Diimamkan oleh 2 orang Imam, lupa pula nak tulis nama mereka. Bergilir selepas rakaat ke 10. Imam di sini juga membaca ayat, dan bukan surah lazim.
Aktiviti Ramadan. Aku cukup kagum dengan usaha AJK Masjid ini kerana menggunakan segala kemudahan yang ada di masjid untuk aktiviti Ramadan. Jika anda ke mana-mana masjid di Kuala Lumpur, pasti akan ada LCD Projektor yang diletak di hadapan beserta layar untuk kegunaan Khutbah Multimedia setiap kali solat Jumaat. Kebanyakan masjid yang aku pergi sebelum ini membiarkan sahaja kemudahan ini tanpa digunakan di waktu lain.
Di sini, LCD Projektor dibuka untuk menayangkan beberapa maklumat penting seperti penaja buka puasa. Walaupun “Hamba Allah” namun diletak juga, beserta kos RM1000 untuk buka puasa dan moreh. Maklumat lain yang dipaparkan seperti Imam dan Bilal yang bertugas, peringatan bayaran Zakat Fitrah, Ayat dan hadis renungan dan yang paling menarik sekali, Kuiz Ramadan yang diadakan sepanjang bulan Ramadan. Kuiz ini mengandungi soalan harian yang dibaca sebelum solat Tarawih, soalan mingguan dan bulanan yang dipaparkan di layar. Soalan merangkumi semua lah, sirah, tafsir, fekah dan sebagainya. Kene bukak kitab balik ni.. 🙂
Kepada kawan-kawan yang sudah berkerjaya, jangan lupa untuk membayar Zakat Fitrah anda ya! Salam Ramadan!
Kembara Tarawih seterusnya: Masjid Al-Mujahideen
Komen Terkini